Saturday, February 19, 2011

Bolehkah risikan Amerika dipercayai?

SEMEMANGNYA menjadi kebanggaan Amerika Syarikat (AS) bahawa jaringan risikan yang dimiliki adalah yang terbaik dan mampu mengutip dan menganalisis maklumat tidak kira masa, tempat dan betapa kompleksnya isu yang dihadapi.

Kelebihan yang dimiliki oleh AS membuatkan pemimpin mereka begitu peka dengan isu semasa di seluruh pelosok dunia terutama sekali di tempat yang mempunyai kepentingan tidak kira dari sudut politik, ekonomi atau ketenteraan. Tidak begitu menghairankan jika White House begitu arif mengenai sesuatu perkara sedangkan pemimpin dunia lain masih terpinga-pinga apabila isu tersebut meletus.

Mungkin ada yang berpendapat begitu lambatnya White House memberi sokongan kepada rakyat Mesir tidak melambangkan kehebatan maklumat risikan yang dimilikinya. Tetapi perlu diingati bahawa strategi demikian diambil bukan kerana kedangkalan maklumat risikan tetapi kerana begitu mengharapkan Hosni Mubarak kekal sebagai Presiden Mesir.

Begitu hebatnya organisasi risikan AS sehinggakan setiap maklumat yang dihebahkan dianggap sahih dan sukar dinafikan kebenarannya. Tetapi dunia sudah mengetahui bahawa dalil yang digunakan oleh Presiden George W. Bush untuk menceroboh Iraq pada 20 Mac 2003 adalah berdasarkan maklumat risikan mengenai senjata pemusnah besar-besaran (WMD) yang tidak tepat.

Begitu juga dunia sudah akur bahawa apa yang diperkatakan oleh Setiausaha Negara AS Collin Powell di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 5 Februari 2003 mengenai sistem senjata kimia bergerak Iraq adalah juga tidak benar. Implikasi ucapan Powell adalah cukup besar kerana PBB seolah-olah merestui pencerobohan Iraq berdasarkan niat untuk menghapuskan WMD Iraq.

Beberapa hari lepas, masyarakat antarabangsa sekali lagi dikejutkan dengan berita yang mengesahkan khabar angin selama ini bahawa maklumat yang digunakan oleh Powell adalah berdasarkan daripada satu sumber yang tidak boleh dipercayai. Lebih menakjubkan lagi walaupun risikan AS mengetahui bahawa maklumat tersebut tidak benar tetapi telah digunakan sebagai intipati ucapan Powell di PBB.

Rafid Ahmed Alwan al-Janabi seorang rakyat Iraq telah mengaku bahawa beliau adalah sumber utama maklumat ucapan Powell. Rafid Ahmed yang juga dikenali sebagai 'Curveball' di kalangan organisasi risikan, menyatakan maklumat itu disampaikan kepada organisasi risik Jerman BND ketika beliau membuat permohonan suaka di negara tersebut.

Apabila maklumat tersebut disalurkan kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Agensi Perisikan Pertahanan (DIA) Pentagon, kedua-dua organisasi perisikan AS tersebut sudah diberi amaran bahawa sumber maklumat adalah diragui dan tidak boleh dipercayai.

Powell dalam reaksi beliau terhadap pengakuan Rafid Ahmed menyarankan supaya CIA dan DIA disiasat mangapa maklumat risikan yang diketahui tidak boleh dipercayai digunakan sebagai maklumat yang sahih. Beliau mengaku bahawa ucapan di PBB tersebut merupakan satu titik hitam dalam sejarah kerjaya beliau sebagai Setiausaha Negara AS.

George Tenet iaitu Pengarah CIA pada ketika itu telah menafikan bahawa amaran telah diberi mengenai kesahihan maklumat Rafid. Tenet menyatakan beliau hanya mengetahui situasi sebenar mengenai Curveball selepas dua tahun AS menceroboh Iraq.

Iraq telah menjadi porak peranda dengan ratusan ribu rakyatnya menjadi korban perang dan selepas lapan tahun Saddam Hussein dihapuskan, kestabilan dan kedamaian masih belum tercapai. Lebih mengaibkan lagi kesemua tersebut berlaku berdasarkan maklumat risikan yang salah. Lebih menyedihkan lagi maklumat risikan tersebut dimanipulasikan oleh pihak tertentu hanya untuk mencapai agenda masing-masing.

Rafid Ahmed sengaja menyampaikan maklumat salah kerana kepentingan agenda permohonan suaka beliau. Jika benar CIA manipulasi maklumat yang tidak boleh dipercayai, maka ia dilakukan untuk mengesahkan Iraq mempunyai WMD. Powell pula dengan hati terbuka menggunakan maklumat yang disalurkan oleh CIA kerana ia selari dengan kehendak bos beliau iaitu George W. Bush.

Memang benar diktator Saddam Hussein telah dihapuskan dan rakyat Iraq kini mampu memilih kerajaan melalui proses demokrasi. Tetapi jika dibandingkan dengan apa yang baru berlaku di Tunisia dan Mesir, harga yang dibayar oleh rakyat Iraq untuk mengecapi proses demokrasi adalah terlalu mahal.

Timbul kesangsian pada masyarakat antarabangsa pada ketika ini, apakah maklumat risikan AS boleh dipercayai kerana organisasi yang berkenaan mampu manipulasi maklumat asalkan memenuhi agenda mereka.

Tidak seorang pun mempercayai apabila Tariq Aziz, orang kanan Saddam pada ketika itu menyatakan Iraq tidak mempunyai WMD sama ada dalam bentuk nuklear, kimia atau biologi untuk menangkis tuduhan Bush dan Powell. Dunia lebih mempercayai maklumat risikan AS.

AS dan sekutunya menuduh Iran mempunyai cita-cita untuk membangunkan senjata nuklear. Tetapi Teheran menafikan tuduhan tersebut dengan menegaskan pembangunan nuklear mereka hanya untuk menjana kuasa elektrik. Tuduhan AS tersebut sudah pasti berdasarkan maklumat risikan yang diperolehi daripada pelbagai sumber.

Terdapat ura-ura yang menyatakan Israel sanggup memusnahkan loji nuklear Iran melalui serangan udara jika mendapat lampu hijau dari Washington. Jika telah terbukti bahawa sememangnya Israel yang mengebom loji nuklear Syria, maka tidak mustahil serangan ke atas Iran mampu dilakukan.

Isu senjata nuklear Iran dianggap selari dengan isu WMD Iraq. Kedua-dua pihak saling menafikan tuduhan yang dilemparkan oleh pihak yang bertentangan. Maklumat yang digunakan oleh AS dianggap pembohongan oleh Iran dan begitu juga sebaliknya. Isu mengenai pembangunan senjata nuklear dianggap lebih rumit berbanding dengan isu WMD Iraq kerana ia diseliputi oleh masalah ambiguiti dan anomali, iaitu begitu sukar untuk mengsahihkan sama ada maklumat AS atau Iran.

Tetapi satu perkara yang nyata adalah peristiwa Curveball telah memalit calar hitam kepada organisasi risikan AS. Masyarakat antarabangsa sudah pasti akan berfikir berkali-kali setiap tuduhan yang dilemparkan oleh AS.

SUMBER: UTUSAN

No comments: