JAKARTA 21 Jan. – Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono hari ini mendedahkan beliau tidak mendapat kenaikan gaji sejak mula menyandang jawatan itu pada 2004.
Beliau tidak mengumumkan nilai gajinya tetapi dipercayai sekitar 62 juta rupiah, bersamaan dengan RM20,990 sebulan atau kira-kira RM251,880 setahun.
“Inilah tahun ketujuh saya tidak menerima kenaikan gaji sebagai Presiden.
“Namun saya sengaja menolak kenaikan itu kerana saya mahu orang lain mendapat kenaikan gaji yang patut mereka terima,” kata Susilo pada mesyuarat dengan para pegawai kanan tentera dan polis.
Susilo yang dipilih untuk penggal kedua selama lima tahun pada 2009 berkata, kerajaannya sedang berusaha untuk memperbaiki kebajikan askar dan anggota polis.
Sesetengah anggota pasukan keselamatan diketahui terlibat dalam sindiket perlindungan dan kegiatan haram lain, dipercayai untuk menambah pendapatan.
Kerajaan telah menaikkan gaji kakitangan awam dalam usaha untuk mengurangkan rasuah dan meningkatkan prestasi, tetapi pengkritik mendakwa rasuah masih berleluasa dalam sistem birokrasi negara ini.
Sumber : Utusan
No comments:
Post a Comment