1) Mula-mula sekali, jangan panik.
Cuba ingati diri anda dan jika anda seorang diri, cuba ingati apa makanan kegemaran anda. Setelah itu cuba perhatikan nombor pendaftaran kereta di hadapan anda dan cuba ingatinya. Periksa juga mereka yang berada di dalam kenderaan anda sekiranya ada yang tercedera. Selepas itu cuba dapatkan nombor pendaftaran kereta di belakang anda pula sekiranya ada dan anda telah dilanggar.
Sekiranya anda seorang wanita dan kejadian itu berlaku di waktu malam, maka anda dinasihatkan memandu (sekiranya kereta boleh dipandu) ke balai polis yang berhampiran. Laporan polis boleh dilakukan di mana-mana balai polis di dalam tempoh 24 jam selepas kemalangan. Jika tidak, duduk sahaja di dalam kereta dan buatlah panggilan kepada kenalan anda ataupun bantuan penunda kenderaan.
Jika anda yakin situasi selamat dan anda ingin menyelesaikan sebarang perkara di situ juga (selalunya jika anda yang bersalah) pandu kereta anda di tepi jalan dahulu serta jauh dari aliran trafik. Jika anda benar-benar bersalah dan kesalahan itu dilaporkan, anda akan disaman maksimum RM300 serta merta dan jika tuntutan insurans pihak ketiga dibuat maka anda akan kehilangan Bonus Tiada Tuntutan @ NCD (No Claim Discount).
2. Melaporkan kejadian di balai polis
Perkara pokok yang perlu anda tahu ketika memberikan laporan ialah waktu kejadian, tempat kejadian, situasi bagaimana kemalangan terjadi, nombor pendaftaran kereta di hadapan, nombor pendaftaran kereta di belakang, kecederaan pemandu/penumpang dan bahagian kereta yang rosak.
Laporan polis akan dibuat menggunakan bahasan yang standard dan anda boleh menyemaknya sebelum membuat pengesahan. Pihak polis juga akan mengambil gambar kenderaan anda serta kenderaan yang melanggar / dilanggar oleh anda. Dapatkan nombor laporan serta pegawai penyiasat kes untuk rujukan.
3. Dalam tempoh 1 hingga 2 minggu selepas kejadian
Anda perlu menyerahkan salinan kad pengenalan, lesen memandu, geran kenderaan serta Cover Note insuran kepada Ibu Pejabat Daerah (IPD) cawangan trafik di mana kemalangan itu berlaku. Jika anda melaporkan kejadian bukan di IPD kawasan kemalangan, anda perlu berhubung dengan IPD trafik kemalangan bagi mengenalpasti siapakah pegawai penyiasat kes anda.
Ada perlu mendapatkan perkara berikut sebelum berhubung dengan pihak insuran:
a. Salinan laporan anda yang disahkan
b. Salinan laporan pihak ketiga yang disahkan
c. Rajah tempat kejadian yang disahkan oleh pegawai penyiasat
d. Kunci penanda tempat kejadian yang disahkan oleh pegawai penyiasat
e. Laporan kes yang disahkan oleh pegawai penyiasat
f. Gambar kenderaan anda yang disahkan
Proses memdapatkan segala dokumen di atas agak merumitkan sekiranya kemalangan berlaku di luar kawasan ie: Hulu Tembeling. Adalah disarankan anda sentiasa menghubungi pegawai penyiasat bagi mengetahui situasi dokumen yang diperlukan tetapi jangan sampai mendesak dan memberitahu apa yang perlu mereka lakukan. Di sini pentingnya diplomasi dan yang penting, anda berjaya mendapatkan apa yang anda perlukan *gelak penoh makna*
4. Prosedur membuat tuntutan
Setelah memperoleh segala dokumen yang diperlukan, anda boleh membawa kenderaan anda di mana-mana bengkel yang boleh membuat tuntutan insuran dan mempunyai kelengkapan membaiki, mengimpal dan mengecat di satu tempat. Jika anda membuat tuntutan atas insuran anda sendiri, maka anda mempunyai tempoh selama 2 tahun untuk berbuat demikian dan 5 tahun sekiranya membabitkan pihak ketiga.
Pihak bengkel akan membuat tuntutan kepada pihak anda dan pihak insuran anda pula akan membuat tuntutan kepada pihak insuran ketiga. Pastikan tidak ada barangan berharga (duit syiling, kad Touch & Go, CD etc) ditinggalkan di dalam kereta anda. Juga jangan sekali-kali tinggalkan Central Lock anda bersama kunci. Tinggalkan hanya kunci kenderaan dalam bentuk manual. Pastikan juga anda bertanya apakah barangan yang perlu diganti dan tandatangani borang perakuan sebelum anda meninggalkan kereta.
Seperti juga dengan pihak polis, anda juga memerlukan diplomasi & hubungan baik dengan pihak bengkel bagi memastikan segalanya berjalan dengan lancar. Hubungi mereka selalu (tapi jangan kerap!) bagi mengetahui situasi kenderaan anda.
5. Mengambil kenderaan
Pastikan anda memeriksa kenderaan terlebih dahulu sebelum menandatangani apa-apa dokumen pelepasan. Bertanyalah dengan mekanik sekiranya anda tidak pasti, itu hak anda. Pihak bengkel juga akan menguruskan tuntutan hilang upaya kenderaan sementara (bergantung kepada cc kenderaan anda). Pastikan anda menguji kenderaan anda terlebih dahulu sebelum membawanya pulang.
No comments:
Post a Comment