ADA ketikanya pemandu tidak berasa selesa apabila stereng menjadi semakin ketat dan berat. Anda perlu menggunakan lebih tenaga untuk memutar stereng dan keadaan ini menyusahkan terutama ketika meletak kenderaan dan apabila perlu banyak membelok.
Antara sebab keadaan ini berlaku ialah tekanan angin tayar depan yang terlalu rendah, penjajaran (alignment) tayar depan kurang tepat, kekurangan atau kerosakan minyak pelincir di dalam kotak gear stereng, kekurangan gris pada sambungan rod stereng atau pengalas tayar depan dan penyelarasan yang kurang sempurna pada peralatan pengemudian.
Dalam pada itu, stereng automatik dan biasa memang berbeza. Namun, untuk tujuan meletak kereta, mengundur atau membelok, stereng automatik lebih mudah dan selesa.
Namun, ada ketikanya masalah stereng berlaku ketika anda memandu laju. Ketika kenderaan bergerak pada kelajuan tinggi di atas jalan yang rata, roda depan terasa meliar dan stereng sukar dikendalikan.
Keadaan ini berbahaya terutama jika kenderaan bergerak laju melebihi 100 kilometer sejam apa lagi jika melalui jalan basah dan licin.
Punca keadaan ini terjadi antara lain disebabkan kehausan sambungan sistem roda kemudi terutama hujung dan pangkal rod pengikat, kehausan atau kesalahan penyelarasan alat pengemudian. Malah terlalu banyak gerak bebas pada pengalas roda depan dan kelonggaran pada stereng (di dalam kotak gear stereng) juga boleh menjadi puncanya.
Sistem pengemudian lazimnya membabitkan kerangka kereta. Dalam situasi roda depan meliar dan stereng sukar dikendalikan adalah masalah yang sering melanda sistem pengemudian apabila terlalu banyak gerak bebas pada stereng.
Jadi, apabila berhadapan dengan masalah stereng sukar dikawal, mula-mula usahakanlah agar kenderaan dapat bergerak lurus. Tetapi biasanya apabila ada kerosakan pada sistem penggerak roda depan, kenderaan tidak dapat bergerak lurus. Kenderaan akan bergerak seolah-olah ‘hanyut’ ke kiri dan kanan.
Apabila berhadapan dengan keadaan sebegini, antara pemeriksaan dan pembaikan kecemasan yang boleh dilakukan termasuk memeriksa gerak bebas stereng. Gerak bebas stereng adalah gerakan berputar stereng yang tidak menyebabkan roda depan bergerak ke kiri atau kanan. Gerak bebas normal stereng adalah sebesar 10-30mm dari suatu tanda tetap.
Apabila gerak bebas stereng terlalu besar, maka akan terjadi kenderaan bergerak dalam keadaan liar. Memang sukar untuk memeriksa sendiri rod kemudi dan sambungan yang longgar, jadi bawalah ke bengkel.
Kerosakan sistem gantungan terutama belakang juga menyebabkan pemanduan yang tidak selesa. Ketika sedang dipandu di atas jalan datar, bahagian belakang kenderaan bergoyang kuat sehingga menjejaskan keselesaan penumpang belakang.
Keadaan itu boleh terjadi disebabkan bolt pegas daun penyerap hentak belakang patah. Akibatnya kenderaan tidak stabil dan tidak dapat dipandu dengan mudah terutama pada kelajuan tinggi. Keadaan ini sering terjadi terutama pada kenderaan besar.
Gejala yang sama mungkin terjadi disebabkan tiupan angin sampingan yang kuat. Bagaimanapun, keadaan ini banyak terjadi pada kenderaan ringan.
Keadaan sistem pengemudian hendaklah diperiksa dengan teliti kerana ia berkaitan dengan keselamatan penumpang.
No comments:
Post a Comment