KOTA KINABALU 23 April - Jika sebelum ini beberapa masjid di Terengganu dan Kelantan melakukan solat berimamkan dua imam disebabkan perbezaan fahaman politik, lain pula di negeri ini.
Solat Jumaat di Masjid Negeri di Jalan Sembulan di sini hari ini berlangsung dengan dua imam kerana bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba pada pukul 12.50 tengah hari ketika khatib membaca khutbah.
Keadaan itu menimbulkan kelam kabut apabila hampir sebahagian besar jemaah di saf depan, di tingkat bawah masjid berkenaan tidak menyedari solat sudah dimulakan.
Ekoran kejadian itu, seorang lelaki tampil mengimamkan solat yang kemudiannya diikuti kira-kira lapan saf jemaah di tingkat bawah.
Pada ketika itu, solat yang dipimpin imam tingkat atas sudah memasuki rakaat kedua.
Apa yang menjadikan keadaan kelam-kabut adalah sebahagian jemaah di saf belakang, di tingkat bawah sudah mengikuti solat yang dipimpin imam di tingkat atas.
Jemaah di saf belakang, tingkat bawah dapat mengikuti solat yang dipimpin imam di tingkat atas kerana pada kedudukan itu, mereka mampu melihat pergerakan jemaah saf belakang, di tingkat atas masjid berkenaan.
Selain itu, mereka juga dapat mendengar suara jemaah di tingkat atas yang bertindak bijak dengan menguatkan suara ketika rukuk, sujud dan iktidal.
Turut menunaikan solat di masjid itu pada hari ini ialah Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmadshah Abdullah; Mufti Sabah, Datuk Ahmad Alawi Adnan dan Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Syed Abas Syed Ali.
Sementara itu, imam di tingkat bawah ketika ditemui berkata, solat Jumaat pada hari ini sah di kedua-dua bahagian kerana disifatkan dalam keadaan darurat.
Dia yang enggan dikenali berharap pada masa akan datang pihak pengurusan masjid harus menyedia pelan kecemasan jika berlaku gangguan bekalan seperti yang terjadi hari ini.
Dalam pada itu, Alawi ketika ditemui, turut menyatakan bahawa solat Jumaat pada hari ini di tingkat atas dan bawah, sah atas alasan yang sama iaitu darurat.
No comments:
Post a Comment