Teliti bajet, kaji semua faktor elak beban
SELEPAS
mengenal kebaikan dan keburukan kad kredit pada isu yang lalu, kali ini
kita melangkah ke bab baru mengenai pembelian kereta.
Sudah tentu sebaik saja anda mula bekerja, salah satu keputusan
penting yang anda akan ambil ialah membeli sebuah kereta. Walaupun
kereta adalah kaedah pengangkutan selesa, perlu diketahui bahawa
memiliki sebuah kereta bukan setakat membayar ansuran bulanan saja.
Ia juga membabitkan kos lain seperti petrol, bayaran tol, parking,
cukai jalan, insuran, kos penyelenggaraan serta kos membaiki apabila
kereta anda rosak.
Seandainya anda boleh membayar segala kos
yang disebutkan tadi dengan selesa, anda masih perlu tanya diri anda
sama ada kereta itu suatu keperluan atau kehendak.
Kereta
baru atau kereta terpakai? Apabila kereta adalah keperluan, anda perlu
membuat keputusan sama ada ingin membeli kereta baru atau kereta
terpakai.
Ramai orang beranggapan bahawa membeli kereta baru
adalah lebih baik kerana kos penyelenggaraannya lebih rendah tetapi pada
hakikatnya, memiliki kereta baru juga ada kelemahannya.
Ketika memutuskan jenis kereta yang diperlukan, anda hendaklah
terlebih dulu menilai kemampuan anda. Jika didapati membeli kereta baru
boleh membebankan, belilah kereta terpakai yang masih berkeadaan baik.
Lagipun, kereta hanya sebuah kenderaan yang membawa anda bergerak dari suatu tempat ke tempat yang lain.
Bagaimana membiayai kereta anda? Lazimnya, orang akan membeli kereta
dengan menggunakan pinjaman sewa beli. Sewa beli adalah penyewaan
barangan dengan pilihan untuk membelinya pada akhir tempoh pinjaman.
Dengan mengambil pinjaman sewa beli, anda akan dikenali sebagai
penyewa dan institusi kewangan yang memberi pembiayaan sebagai pemilik
kenderaan.
Sebagai penyewa, anda perlu membuat bayaran ansuran
berdasarkan terma dan syarat yang sudah dipersetujui di bawah
perjanjian sewa beli.
Selepas semua bayaran ansuran dijelaskan, hak milik kereta tersebut akan dipindahkan kepada anda.
INFO: Panduan bijak beli kereta
Buat
perbandingan untuk mendapatkan kereta yang boleh diharapkan dan
memenuhi keperluan anda. Ada baiknya jika meminta nasihat dari ahli
keluarga atau sahabat.
Jika anda ingin membeli kereta
terpakai, dapatkan khidmat mekanik yang boleh dipercayai atau lakukan
pemeriksaan PUSPAKOM ke atas kereta berkenaan.
Pertimbangkan harga jualan semula atau nilai tukar beli kereta sekiranya anda bercadang untuk menukarnya kelak.
Sekiranya
anda mengambil keputusan untuk memohon pinjaman kereta, cari pakej
terbaik berdasarkan kemampuan anda. Dapatkan maklumat mengenai kadar
faedah efektif yang akan dikenakan.
Rangka bajet
mengikut pendapatan anda. Ambil kira ansuran bulanan kereta dan
lain-lain kos seperti kos petrol, bayaran tol, parking, perbelanjaan
lain termasuk cukai jalan, insurans dan servis biasa.
Cuba
tingkatkan tabungan untuk bayaran pendahuluan supaya pinjaman yang
diambil lebih rendah dengan tempoh pembayaran yang lebih singkat. Perlu
diingat bahawa semakin panjang tempoh pinjaman, semakin banyak faedah
yang anda perlu bayar.
Jangan gunakan kad kredit untuk
membuat bayaran pendahuluan kerana anda akan terikat dengan pinjaman
pada kadar faedah yang sangat tinggi.
Bersedia untuk
menanggung perbelanjaan di luar dugaan seperti membaiki kereta sekiranya
berlaku kerosakan atau kemalangan. Ada baiknya untuk mengetahui
mengenai kemudahan mendapat alat ganti serta kos untuk menggantikannya.
Pastikan
kereta anda mempunyai perlindungan insurans komprehensif yang mencukupi
atau sekurang-kurangnya mempunyai perlindungan insurans pihak ketiga.
1 comment:
kalau dah ade kereta lepas tu eksiden dan nak beli kereta baru macam mana pulak? hahaha
Post a Comment