Sunday, July 3, 2011

Malaysia vs Chinese Taipei

Kejayaan Malaysia mara ke Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2014, menewaskan Taiwan, diharap tidak segera dilabel ramai sebagai satu kejayaan besar, sebaliknya skuad Harimau Malaya ditagih memperkemas setiap kelemahan yang ketara kelihatan – yang mana perlu mengharapkan kelebihan gol di tempat lawan untuk mara.

Dua gol di tempat lawan, menerusi kombinasi pemain sama yang meledak di Bukit Jalil – Aidil Zafuan dan Safiq Rahim, menjadi pemisah dalam perlawanan yang cukup mendebarkan di mana skuad negara dilihat tertekan dengan asakan menggila tuan rumah, yang turut menyaksikan skuad Taiwan beroleh tiga sepakan penalti, dua daripadanya disempurnakan.

“saya bangga kita mara, walaupun tewas tapi gol tempat lawan. cukup mendebarkan, dengan pasukan Taiwan menyerang habis-habisan, mungkin tekanan main tempat lawan, apapun kita perlu perbaiki banyak lagi kelemahan, saya mahu lihat aksi yang lebih garang lawan singapura, Taiwan dah kaji kelemahan kita masa main di KL, dan mereka manfaatkannya, mereka dedahkan kelemahan kita dengan baik. Ini seperkara Datuk Rajagobal perlu teliti. Apapun saya yakin kemenangan malam ini berjaya kembalikan keyakinan peminat..ini suatu yang cukup mengagumkan..”. – Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Belia dan Sukan.

Pada perlawanan yang berkesudahan dengan Taiwan menang 3-2 itu, penjaga gol negara, Sharbinee Allawee Ramli boleh diangkat sebagai wira, apabila menyelamatkan satu sepakan penalti oleh Chen Po Liang, yang mana pada ketika itu kedudukan masih terikat 2-2.

Malah, persoalan yang paling besar, keengganan jurulatih, Datuk K.Rajagobal mengubah taktikal dan formasi permainan – kekal pada formasi 4-4-2 – formasi yang kurang berkesan ketika aksi di Bukit Jalil tempoh hari, dan Rajagobal sekadar melakukan tiga pertukaran di kesebelasan utama, di mana Norshahrul Idlan beraksi di posisi Safee Sali yang cedera, Abdul Hadi Yahya (Baddrol Baktiar) dan Mahali Jasuli (Helmi Remeli).


Kebanyakan bekas pemain negara yang ditemui selepas tamat perlawanan, menganggap kemenangan ini belum meyakinkan apatah lagi selaku Juara Piala AFF 2010, Malaysia seharusnya berada di kelas tersendiri dan berharap setiap kelemahan yang wujud dapat diperbaiki menjelang sepak mula aksi pusingan kedua 23 Julai depan.

“perlawanan yang cukup mendebarkan, dan nasib kita mara dengan gol tempat lawan. belum cukup bagus sebenarnya, defend bocor, senang jer Taiwan nak attack. Ini yang perlu kita perkemaskan. Kita jangan main terlalu confident, kalau dia skor satu lagi tadi jawabnya bungkuslah kita kan? fokus jangan hilang. Tapi lawan singapura, insyaAllah dengan semangat tinggi pemain, saya yakin kita boleh menang, yang penting kurangkan kesilapan..”. –Khalid Ali.

“perlawanan menentang Singapura, pastinya satu yang berbeza, yang amat dinanti-nantikan peminat, dan kami sendiri bekas pemain, banyak nostalgia, musuh tradisi la katakan. Yang pasti kalau main macam tadi susah nak menang, sebab Taiwan dah tunjuk mana kelemahan kita, sama ada defend, midfield atau striker, dan tugas coach la untuk kaji dan perbetulkan. Kredit juga kepada Sharbinee save penalti tadi. Player juga mungkin tertekan main tempat lawan tadi, tapi yang penting lepas ni, sape pun lawan, kita gempur habis..”. – Dollah Salleh.

“tahniah, saya bangga dengan kejayaan ini. kita semakin hari semakin maju, saya yakin kita sedang menuju ke arah mengembalikan zaman kegemilangan bolasepak kita. Tadi memang agak cuak juga tengok bila kena serang, dia pun dapat 3 penalti, lawan singapura nanti kita jangan leka, kena fight habis, buktikan Harimau Malaya adalah kuasa bola Asia..”. – Zainal Abidin Hassan.

“inilah padah bila main over confident. Saya gembira kita mara ke pusingan kedua, tapi saya kecewa kita mara dengan cara macam ni, kalah dan harapkan gol tempat lawan. kenapa perlu kendurkan asakan bila dah leading, kenapa tak keep momentum. Saya bekas pemain, saya bekas jurulatih negara, bagi saya, kita patut bunuh terus kebangkitan Taiwan. Jangan nak main possession football kalau tak pandai. Kita bukan Brazil, bukan Sepanyol, u main possession football, maknanya u bagi dia chance to attack. Nasib baik 3-2, kalau penalti 1 lagi masuk?..cuba kira, berapa?..”. – Datuk Ghani Minhat.

No comments: