Saturday, February 19, 2011

Projek MRT lonjakkan harga tanah.


Projek Transit Aliran Pantas (MRT) akan melonjakkan nilai tanah di antara 11 peratus sehingga 35 peratus setahun bagi beberapa kawasan utama sekitar Lembah Kelang.

Pengarah Bersekutu HwangDBS Vickers Research Sdn. Bhd., Yee Mei Hui berkata, hartanah terbabit adalah di KLCC-Bukit Bintang, KL Sentral, Pusat Bandar Damansara-Damansara Heights, KL Eco-City-Midvalley dan Sentul.

“Projek MRT ini dilihat sebagai penggerak kepada pembangunan berstruktur hartanah di Kuala Lumpur ke satu peringkat yang lebih tinggi,“ katanya dalam satu taklimat media berhubung kajian firma penyelidikan itu terhadap projek MRT di sini hari ini.

Tambah Mei Hui, antara faktor yang mendorong ke arah peningkatan nilai tanah tersebut adalah disebabkan oleh harga jualan produk akhir, nisbah plot yang lebih tinggi serta pertambahan zon komersial.

Katanya lagi, projek yang bernilai RM43 bilion itu akan memberi kesan berganda sebanyak tiga kali kepada RM210 bilion dalam tempoh lebih 10 tahun kepada ekonomi Malaysia selain mengubah Kuala Lumpur menjadi sebuah bandar raya yang lebih hidup dan teratur.

Selain itu, projek MRT juga akan menggalakkan lebih banyak usaha sama serta pengambilan alih dan penggabungan kerana pemain industri berebut untuk menambah tanah simpanan.

Tambah beliau, pemaju yang memiliki tanah simpanan di sekitar laluan MRT adalah golongan yang paling beruntung kerana mereka mempunyai peluang untuk membida bagi mendapatkan stesen yang boleh disepadukan atau diletakkan berhampiran projek hartanah mereka.

“Kami menjangkakan YTL Land & Development Bhd., Selangor Properties Bhd., Guocoland (M) Bhd., Bolton Bhd., dan SP Setia memiliki pendedahan Nilai Aset Bersih yang Dinilai Semula tertinggi memiliki potensi ini, “ katanya.

Dalam pada itu, hartanah di sekitar laluan MRT mampu mencapai premium sekitar 20 peratus sehingga 30 peratus.

“Walaupun projek ini dijangka siap sepenuhnya pada 2020, namun harga-harga hartanah di sekitar kawasan terlibat sudah menunjukkan peningkatan berikutan tindakan pantas pemaju yang telah mula meningkatkan kemudahan infrastruktur, “ katanya.

Projek MRT dijangka mampu menangani kemelut pengangkutan awam yang membebankan kehidupan pengguna yang mendiami kawasan Greater Kuala Lumpur (Greater KL).

Greater KL meliputi kawasan seluas 279,327 hektar terdiri daripada Kuala Lumpur, Putrajaya, Ampang Jaya, Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam, Kajang, Klang, Sepang dan Selayang.

Jumlah penduduk Greater KL dianggarkan sekitar enam juta dan dijangka meningkat 10 juta orang pada tahun 2020.

Sumber: UTUSAN

1 comment:

hisemudinkasim.blogspot.com said...

Salam saudara,

Memang benar projek MRT akan melonjakkan nilai hartanah di tempat-tempat laluan koridur MRT.

Sila ikuti tulisan saya dalam, "MRT : selesaikah masalah pengangkutan awam di Lembah Kelang ?".

http://hisemudinkasim.blogspot.com/2013/06/mrt-selesaikah-masalah-pengangkutan.html